Kepentingan Mengetahui Hak Isteri Dalam Isu Nafkah

Kepentingan Mengetahui Hak Isteri Dalam Isu Nafkah

 

[BM] KEPENTINGAN MENGETAHUI HAK ISTERI DALAM ISU NAFKAH
DI SISI UNDANG – UNDANG SYARIAH
By : Dato’ Hazizah Kassim, Izzatillah Abdul Hakim Abdul Karim

Tidak dapat dinafikan lagi, isteri mempunyai hak – hak yang nyata dalam sesebuah institusi perkahwinan. Diwajibkan kepada seorang suami untuk memberi nafkah kepada isterinya dari segi zahir mahupun batin. Dalam kes Noorain bt. Ahmad lwn. Dato’ Ir Abdul Rashid bin Maidin, mahkamah menjelaskan bahawa nafkah adalah merupakan hak isteri yang tertanggung ke atas suaminya yang wajib diberi.

Sabda Rasulullah S.A.W, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Suffian ialah seorang yang bakhil, dan beliau tidak memberi kepadaku apa yang mencukupi untukku dan anakku, maka berkata Rasulullah S.A.W: Ambillah olehmu apa yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang sepatutnya.

Berpandukan kepada Kitab Fiqhul Islam Wa Adillatuhu karya Dr. Wahbah az – Zuhaili, beliau menerangkan bahawa terdapat empat syarat utama wajib nikah. Pertama, seseorang perempuan (ister) yang telah menyerahkan dirinya kepada suaminya dengan penyerahan yang penuh (sempurna). Di samping itu, isteri yang tekah besar dan boleh bersetubuh dengannya. Dr. Wahbah juga menekankan bahawa perkahwinan itu hendaklah sebuah perkahwinan yang sah dan disyaratkan juga agar hendaklah jangan hilang hak suami untuk menahan (ijtibas) isteri tanpa sebab yang diluluskan oleh syara’.

Selain itu, mahkamah juga dalam tuntutan nafkah akan menganggarkan tuntutan nafkah mengikut uruf kelaziman perbelanjaan yang meliputi makan, minum, penjagaan diri serta tempat tinggal sedia tada. (Noorain bt. Ahmad lwn. Dato’ Ir Abdul Rashid bin Maidin)

Nafkah itu sendiri terbahagi kepada dua; nafkah zahir dan batin. Nafkah zahir adalah nafkah yang berbentuk jelas seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendididkan kepada isteri mengikut kemampuan suami dan sebagainya. Manakala nafkah batin adalah nafkah yang berbentuk hubungan intim antara pasangan suami isteri yang sah.

Sekiranya si isteri merasakan bahawa suami tidak memberikan haknya yang sah di sisi syara’ maka isteri boleh menuntut haknya dengan membuat aduan kepada penguatkuasa agama ataupun mahkamah dengan harapan suami akan mengembalikan dan meletakkan keadilan pada tempatnya.

Dalam kes Salina Mohd Dahlan lwn. Mohd Salleh Haron [2004] CLJ (Sya), Defendan dalam hal ini telah dengan sengaja tidak memberikan nafkah zahir mahupun batin kepada Plaintif. Defendan telah enggan untuk mengadakan hubungan kelamin dengan Plaintif atas alasan bahawa Plaintif bukan anak dara sewaktu dinikahi.

Dalam hal ini, mahkamah memutuskan bahawa jika defendan tidak selesa untuk menyetubuhi Plaintif kerana Plaintif bukan lagi anak dara seperti yang dinyatakannya maka defendan hendaklah melepaskan plaintif dengan cara yang baik. Defendan tidak boleh terus menerus membuat tuduhan sebegitu tetapi masih lagi memegang plaintif. Ini kerana dalam Surah Al Baqarah ayat 229 Allah s.w.t telah berfirman dengan maksudnya “peganglah dengan baik atau lepaskan dengan baik.”

Seharusnya kita sebagai pasangan suami isteri yang sah haruslah bertanggung jawab dan bersikap adil antara satu sama dengan yang lain. Suami perlu sedar akan tanggungjawabnya bahawa beliau perlu menyediakan nafkah yang cukup dan sempurna kepada isteri bagi memastikan rumah tangga kekal harmoni tanpa sebarang konflik.

Hal ini kerana, hasil pemerhatian mendapati kebanyakan kes – kes yang dibawa naik ke mahkamah adalah berikutan suami gagal untuk memberikan nafkah yang mencukupi kepada isteri dan sekaligus menyebabkan isteri berasa dizalimi kerana haknya tidak diberikan secara mutlak. Hayatilah perkahwinan dengan baik dan penuhilah perkahwinan dengan sakinah, mawaddah dan rahmah.